KEPERLUAN PENDIDIKAN SEKS DI MALAYSIA
- Nor Hashimah
- Dec 30, 2019
- 2 min read
Pada abad ini, dengan kewujudan teknologi dan gajet canggih, kemudahan untuk mengakses internet tidak lagi menjadi masalah. Mengikut laman web Statisa, setakat Oktober 2019, hampir 4.48 bilion orang adalah pengguna internet yang aktif, merangkumi 58 peratus daripada populasi global. Di Malaysia, pada tahun 2017, sebanyak 25.3 juta orang mempunyai akses internet dan populasi di Malaysia dianggarkan sebanyak 32.6 juta. Melihat statistik tersebut, boleh dikatakan lebih daripada separuh orang di Malaysia ini pengguna internet aktif termasuklah pelajar sekolah rendah ataupun menengah. Dengan kemudahan di hujung jari, internet boleh dilayari tak kira di mana sahaja dan juga tanpa had. Keadaan ini menjadi masalah apabila kanak-kanak di bawah umur mengakses internet tanpa pemantauan ibu bapa mereka.
Apabila mereka tidak dipantau, mereka akan terdedah dengan laman web lucah dan tak sepatutnya. Walaupun mereka tidak mencari sendiri, namun di internet terdapat iklan “pop up” yang keluar sendiri dan selalunya iklan tersebut berunsurkan lucah. Seperti kita tahu naluri seorang remaja atau kanak-kanak yang rasa inginnya sangat kuat pasti akan menerokai laman web tersebut. Dari situ, mereka akan terdedah dengan perkara seks yang tidak betul dan ini membawa kepada salahlaku seksual. Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, seramai sembilan peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar di kelas peralihan seluruh negara dikesan cergas dalam hubungan seks. Statistik ini sangat membimbangkan kerana pelajar-pelajar ini tidak mempunyai pengetahuan yang bermanfaat dan benar tentang seks langsung.

Apabila tiadanya ilmu tentang seks, kes-kes berkenaan seksual seperti merogol, mengandung anak luar nikah, pembuangan bayi, penyakit kelamin, dan jenayah seksual pedofilia akan meningkat. Pendidikan seks bukanlah mengajar bagaimana untuk melakukan hubungan intim seperti yang dianggap oleh masyarakat. Anggapan itu tidak benar sama sekali. Pendidikan seks ini sangatlah penting untuk melindungi anak-anak daripada jenayah seksual dan gangguan seksual. Dengan pendidikan seks, mereka akan didedahkan kepada perbezaan antara sentuhan selamat atau tidak untuk melindungi mereka daripada menjadi mangsa seksual.
Sekarang ini, pendidikan seks hanyalah merupakan antara sukatan mata pelajaran dalam subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Perkara ini merupakan permulaan yang sangat baik. Tetapi pada pendapat saya, pendidikan seks perlu dijadikan satu subjek berasingan dan dimulakan di peringkat sekolah menengah supaya dapat diterokai dan dipelajari dengan lebih mendalam. Pengajaran yang dilakukan perlulah dilakukan dengan minda terbuka. Pendidikan seks banyak manfaat jika dipelajari dengan sumber yang betul. Pelajar juga akan lebih peka dengan apa yang benar dan salah dalam seksual. Pengajaran dari sumber yang benar seperti sekolah jauh lebih bagus daripada pelajar yang suka-suka mencari informasi sendiri di internet yang kita tidak ketahui pun sumbernya.
Saya telah memilih untuk membincangkan isu ini kerana ia agak berkait rapat dengan topik KPS Pengurusan Pembelajaran yang dipelajari iaitu Sekolah dan Persekitaran. Sekolah merupakan tempat penyebaran ilmu pengetahuan maka ia perlulah menjadi sekolah yang selamat untuk para pelajar. Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak kes gangguan seksual yang berlaku dalam kalangan murid di sekolah namun kurang dapat dikesan kerana pelajar mungkin tidak tahu bagaimana ingin menyuarakannya. Dengan adanya pendidikan seks, pelajar akan lebih berani bersuara kerana mereka tahu hak mereka dan mereka tahu apa yang salah. Kesimpulannya, pendidikan seks bukan sahaja penting untuk menjamin persekitaran sekolah yang selamat, namun juga dapat melindungi pelajar daripada menjadi nafsu serakah manusia yang tiada moral.
Comentários